Sunday, October 17, 2010

Soalan Soalan Yang Sering Ditanya


1. Apa tujuan KSIEWBSM diwujudkan?
- KSIEWBSM diwujudkan bertujuan untuk membantu, membela, membimbing dan tunjukajar kepada para pekerja dalam sektor elektronik khususnya bagi mereka-mereka yang terbabit secara langsung dalam aktiviti pengeluaran dan pembaikan peralatan elektronik seperti komputer dan sebagainya.

2. Adakah KSIEWBSM sah disisi undang-undang?
- KSIEWSSM adalah suatu Kesatuan Sekerja yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Kementerian Sumber Manusia Malaysia. Dengan menggunakan nombor pendaftaran 1031, setiap pergerakan KSIEWBSM tertakluk dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262).

3. Bagaimana untuk mendaftar sebagai AHLI KSIEWBSM?
- Pemohon perlu memuat-turun borang pendaftaran yang terdapat dalam blog ini dan seterusnya menghubungi atau SMS nombor telefon wakil KSIEWBSM untuk pertanyaan lanjut. Wakil KSIEWBSM akan menetapkan tempat, tarikh dan masa yang sesuai untuk penerangan lanjut.

4. Kenapa perlu untuk menghubungi wakil KSIEWBSM? Kenapa tidak cuma hantar borang permohonan AHLI ke alamat KSIEWBSM?
- Kami tidak menggalakan permohonan melalui pos atau sebagainya. Adalah sebaiknya untuk menghubungi terus atau SMS no telefon wakil tersebut. Penerangan secara bersemuka adalah lebih jelas dan mudah difahami.Untuk keterangan lanjut,hubungi talian 012-3129300.


5. Bagaimanakah nama AHLI KSIEWBSM disimpan? Adakah ianya selamat?
- Setiap nama AHLI KSIEWBSM disimpan di Pejabat Berdaftar dan diklasifikasikan sebagai sulit. Hanya Majlis Eksekutif dan wakil KSIEWBSM sahaja dibenarkan untuk menguruskannya.

6. Berapakah bayaran untuk menyertai KSIEWBSM?
- Setiap AHLI baru mendaftar akan dikenakan dengan bayaran Yuran Pendaftaran sebanyak RM4 dan Yuran Bulanan yang pertama iaitu sebanyak RM6. Bayaran yuran pendaftaran ini adalah sekali sahaja iaitu semasa pendaftaran, manakala pembayaran yuran bulanan bolehlah dilakukan mengikut kesuaian dan kemampuan ahli. Ahli bolehlah membayar pada kadar setiap bulan mahupun mengikut 6bulan atau setahun.Resit rasmi akan dikeluarkan untuk sebarang bayaran.

7. Adakah KSIEWBSM mendapat pengiktirafan dari mana mana kilang diPerak ?
Usaha pertama diPerak bermula dengan kilang Carsem. Kesatuan dalam proses untuk mendapat pengiktirafan dari Pengurusan Carsem.Untuk mendapat pengiktirafan,50% + 1 pekerja yang layak  kenalah jadi ahli KSIEWBSM.Apabila pengiktirafan diperolehi,proses rundingan gaji dan faedah boleh dimulakan.

Perbezaan antara Kesatuan Dalaman dan KSIEWBSM

KESATUAN SEKERJA DALAMAN TEMPAT KERJA (IN-HOUSE UNION)

 Terdapat banyak kes Kesatuan Dalaman ditubuhkan atas inisiatif majikan itu sendiri dan dijadikan sebagai "alat solek" dan BONEKA majikan semata-mata.

  1. Keahlian cuma terdiri dari pekerja atas nama satu syarikat tempat kerja tersebut itu sahaja.
  2. Keanggotaan pula HANYA terdiri dari majikan PRINSIPAL sahaja (pekerja tetap). Pekerja kontrak atas syarikat agensi pekerjaan dan pekerja asing tidak boleh menyertai Kesatuan Dalaman. Dengai itu sistem kontrak dan pengambilan pekerja asing semakin berleluasa!
  3. Tidak ada kuasa autonomi kerana kebiasaannya pejabat berdaftar Kesatuan Dalaman berada didalam kawasan tempat kerja atau disediakan oleh majikan dan ini menjadikan segala surat menyurat dan aktiviti Kesatuan dipantau malah ianya dikawalselia oleh majikan. Sumber kewangan amat terhad dan kadang-kala terpaksa bergantung dengan peruntukkan dari majikan kerana keanggotaan yang kurang. Maka Kesatuan Dalaman kurang mampu untuk membiayai aktiviti Kesatuan
  4. Jika syarikat menukar nama dan pendaftaran, maka Kesatuan Dalaman secara automatik akan TERBATAL jika ianya tidak termaktub dalam Perjanjian Bersama (CA) dari awal. Terdapat juga Kesatuan Dalaman yang langsung tidak mempunyai CA!
  5. Perundingan Perjanjian Bersama (CA) diwakili oleh wakil pekerja dari kilang itu sendiri sahaja. Mentaliti hubungan antara pekerja dan majikan masih menebal dan rasa gentar untuk berunding malah kurang penegasan terhadap sesuatu pertikaian kerana mereka akan kembali bertembung dengan majikan yang dirunding apabila balik ke tempat kerja masing-masing. Perundingan pula biasanya terletak atas budi bicara majikan. Penyelarasan gaji adalah bergantung kepada majikan. Sering terjadi "pilih bulu", diskriminasi dan penganiayaan serta rasisme bermaharajalela, malahan terdapat berlaku pemilihan EXCO mengikut citarasa dan kehendak majikan.
  6. Jika berlaku siasatan dalaman (domestic inquiry) dalam syarikat, pekerja yang disiasat HANYA boleh diwakili oleh wakil Kesatuan dalam kilang/tempat kerja itu sahaja dan kuasa pembelaan dan rayuan amat terhad.

KESATUAN SEKERJA WILAYAH BARAT(KSIEWBSM)
  1.  Ditubuhkan oleh pekerja untuk pekerja demi pekerja. Hak dan maruah pekerja lebih terjamin dan dilindungi.
  2. Keanggotaan yang LEBIH RAMAI kerana mereka-mereka terdiri dari pelbagai kilang/tempat kerja dari setiap Negeri mengikut Wilayah naungan.
  3. Keanggotaan mencakupi seluruh industri yang sama. Pekerja kontrak dan pekerja asing juga boleh menyertai Kesatuan! Tiada diskriminasi sama ada gender, kaum, taraf dan sebagainya untuk keanggotaan.
  4. BEBAS DAN AUTONOMI. Sumber kewangan lebih besar dari kutipan yuran keanggotaan yang lebih ramai. Oleh itu KESATUAN mampu untuk:
    1. membayar upah guaman jika terdapat pertikaian,
    2. membayar sewa pejabat diluar tempat kerja, penyelidikan dan staf-staf tambahan terlatih,
    3. menjalankan program pendidikan anggota Kesatuan dengan lebih intensif dan kerap.
  5. Jika syarikat atau majikan menukar nama dan pendaftaran mereka, Kesatuan dan keanggotaan pekerja masih KEKAL, malahan jika pekerja bertukar tempat kerja tetapi masih mengikut industri yang sama, keanggotaan mereka juga masih KEKAL
  6. Perundingan Perjanjian Bersama (Collective Agreement - CA) diwakili oleh wakil Kesatuan yang terlatih kerana program pendidikan Kesatuan yang dijalankan dan mereka terdiri dari pelbagai kilang mahupun industri. Maka tiada rasa gentar untuk perundingan meja bulat (perundingan sama taraf) kerana tiada mentaliti hubungan kuasa pekerja-majikan. Pelarasan gaji dalam CA mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia iaitu gaji pokok, kenaikan tahunan dan bonus semuanya TETAP dan hanya bayaran mengikut produktiviti sahaya yang boleh diubah.
  7. Jika berlaku siasatan dalaman (domestic inquiry) dalam kilang/tempat kerja, pekerja boleh diwakili oleh wakil Kesatuan yang dilantik. (Pegawai KHAS Kesatuan)

Ingat! Anda yang akan menentukan arah tuju Kesatuan anda BUKANNYA majikan!!!  

KUASA MEMILIH DITANGAN PEKERJA ITU SENDIRI!

APA ITU KESATUAN SEKERJA INDUSTRI ELEKTRONIK?

Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung Malaysia (KSIEWBSM) adalah satu organisasi dari pekerja untuk pekerja demi pekerja yang mendaftar dan diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Kesatuan membentuk satu kuasa yang kukuh dan mandiri demi menjaga hak ekonomi dan kebajikan para pekerja dari majikan.

Semua pekerja yang diambil bekerja atau bertugas dalam industri elektronik di negeri Selangor,Kuala Lumpur dan Perak layak menyertai KSIEWBSM KECUALI bagi mereka yang berjawatan dalam bahagian pengurusan, eksekutif, sulit atau keselamatan.
 
Usaha untuk menwujudkan Cabang KSIEWBSM di Perak bermula dengan kilang Carsem di Jln Lapangan Terbang dan Jelapang.Surat untuk rundingan pengiktirafan telah dihantar dan proses pengambilan ahli sedang giat diusahakan.Pekerja Carsem disarankan untuk menyokong 100% dengan mengisi borang dan mengembalikan borang beserta dengan wang Rm10 (RM 4 Pendaftaran + RM 6 Yuran bulanan).
 
Semoga usaha murni ini yang didokong oleh para Kesatuan diPusat dan juga wira Carsem akan berjaya!